Showing posts with label PMR. Show all posts
Showing posts with label PMR. Show all posts

Monday, September 14, 2009

Penggunaan Telefon Bimbit

Penggunaan telefon mudah alih semakin popular pada masa kini. Pelbagai jenama telefon mudah alih yang ada di pasaran. Syarikat pengeluar pula berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej istimewa untuk menarik minat pengguna supaya membeli telefon ini. Pada era teknologi ini, penggunaan telefon mudah alih semakin penting kerana kita boleh berhubung pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

Oleh sebab pentingnya telefon mudah alih ini, tidak hairanlah penuntut-penuntut universiti sanggup menggunakan wang mereka untuk membeli telefon ini. Bukan itu sahaja, pelajar sekolah juga ramai yang memiliki telefon mudah alih. Penggunaan telefon mudah alih walaupun banyak kebaikannya tetapi perlulah dipantau, khususnya oleh ibu bapa.

Seharusnya ibu bapa mengawal anak-anak agar tidak terlalu terikiut-ikut dengan gaya hidup moden sedangkan tugas utama anak-anak adalah belajar bersungguh-sungguh.

Thursday, August 13, 2009

10 Kesalahan Tatabahasa

1 para guru-guru
para guru / guru-guru

2 satu setengah jam
satu jam setengah

3 tiap pelajar
setiap pelajar / tiap-tiap pelajar

4 daripada sekolah
dari sekolah

5 sejak dari semalam
sejak semalam / dari semalam

6 demi untuk ibu bapa
untuk ibu bapa / demi ibu bapa

7 beberapa penjahat
beberapa orang penjahat

8 koleksi lagu-lagu
koleksi lagu / lagu-lagu

9 sesetengah daripada kek yang dipotong
setengah daripada kek yang dipotong / sebahagian daripada kek yang dipotong

10 video cakera padat
cakera padat video


Monday, August 10, 2009

Jenayah Ragut II

Kejadian ragut kian kerap berlaku di negara kita dan fenomena ini menimbulkan rasa tidak selamat kepada orang ramai untuk keluar dari rumah. Kita amat sedih kerana banyak kes ragut yang telah menyebabkan mangsa cedera parah dan ada yang meninggal dunia.

Pihak polis selalu mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berjalan terutamanya di kawasan yang sunyi. Elakkan berjalan secara bersendirian kerana hal ini akan memberi peluang kepada peragut untuk melakukan jenayah ini. Selain itu, kita mestilah mengelakkan diri daripada memakai barang kemas atau barang-barang lain yang berharga kerana peragut amat prihatin dengan barangan tersebut.

Kita amat berharap agar penjenayah yang terlibat dalam kes ragut ini dihukum dengan setimpal atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka supaya menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kegiatan yang tidak sihat ini.

Jenayah Ragut I

Pada masa ini, kes ragut semakin menjadi-jadi dan hangat dibualkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana ada kejadian kes ragut yang melibatkan kematian.

Punca utama kes ragut berlaku ialah golongan belia tiada pekerjaan. Sampah masyarakat ini dikatakan malas bekerja. Oleh sebab itu, kerja mereka ialah meragut tas tangan.

Kesannya, dokumen penting dalam beg akan hilang. Selain itu, wang dalam dompet juga dirampas. Yang lebih serius ialah mangsa juga tercedera parah.

Untuk mengurangkan kes ragut, kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang. Pihak polis haruslah mengadakan rondaan yang lebih kerap. Golongan wanita pula dinasihatkan agar tidak membawa tas tangan jika tidak perlu.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa kes ragut sebenarnya boleh diatasi. Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk mengurangkan masalah sosial dan jenayah.

( 118 patah kata)

Saturday, July 25, 2009

12 amalan harian pelajar cemerlang

TERDAPAT beberapa amalan yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk meningkatkan disiplin diri dalam mencapai kecemerlangan. Yang penting ialah pelajar perlu mempunyai tahap kecekalan, kesabaran dan komitmen yang tinggi. Tanamkan azam secukupnya dan lakukan perkara-perkara yang berikut:

1. Tentukan matlamat kerja dengan jelas dan `hiduplah' dengannya.

Anda perlu menetapkan apakah kebolehan atau matlamat yang anda harapkan daripada sesuatu usaha yang sedang atau akan anda lakukan. Sebagai contoh, anda hendak meningkatkan keupayaan anda menulis karangan sepanjang 350 patah perkataan dalam setengah jam. Jadi, jangan berpeluk tubuh dan berlengah-lengah. Latih diri anda secukupnya supaya matlamat anda itu tercapai sebelum peperiksaan.

2. Menyediakan jadual harian yang praktikal dan mudah diikuti.

Jadual yang anda sediakan mesti praktikal dan secocok dengan gaya hidup anda. Kemudian berikrarlah di depan jadual anda, dan pada diri sendiri bahawa anda akan patuh kepada jadual yang anda buat sendiri.
Jadual yang baik sebenarnya adalah bersifat anjal. Anjal bermakna, anda boleh mengubahsuainya, tetapi masih patuh kepada disiplin hidup berjadual. Anda mesti berazam memperbaharui tekad anda untuk menjadi manusia yang berguna setiap hari, setiap kali bangun daripada tidur.

3. Bertekad dan sabar

Pastikan apabila kita membuat sesuatu kerja, selesaikan. Bukan sekerat jalan sahaja.

4. Pengurusan masa

Menguruskan masa merupakan tugasan yang sukar dan mencabar, tetapi boleh dilakukan. Gunakanlah masa yang ada untuk melakukan kerja yang berfaedah. Jangan bertangguh. Tetapkan keutamaan tugasan, serta waktu yang paling sesuai untuk membuat sesuatu tugasan.

5. Istiqamah dengan jadual harian

Peganglah janji anda selepas berikrar untuk mematuhi jadual harian yang anda rancang.

6. Tidak mudah kecewa.

Jangan seret kekecewaan atau kegagalan silam sehingga menyukarkan perjalanan menuju kejayaan. Yang sudah biarkanlah ia berlalu.

7. Belajar daripada kejayaan dan kegagalan orang lain.

Pepatah Melayu ada menyebut, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

8. Berdoa.

Selepas berusaha habis-habisan, kita bertawakal dan berserah kepada Allah s.w.t. Semoga usaha kita diberkati. Amalkan beberapa doa kejayaan.

9. Mementingkan kesenangan jangka panjang.

Pelajar yang matang fikirannya akan memikirkan keuntungan jangka panjang. Abaikan dahulu keseronokan jangka pendek yang boleh menyebabkan kita menangis dan meratap kerana gagal dalam hidup.

10. Memikirkan pengorbanan keluarga.

Ingatlah setiap sen yang dibekalkan oleh ibu atau bapa setiap pagi sebelum ke sekolah. setiap suap makanan yang kita jamah akan menjadi darah daging kita. Darah daging kita adalah hasil penat lelah ibu bapa kita. berilah mereka sedikit kegembiraan dengan lulus dalam peperiksaan.

11. Mencari rakan berdisiplin.

Bijak mencari rakan adalah penting. Jangan sehingga kita diheret kekancah kegagalan oleh kawan-kawan yang tidak memikirkan masa depannya. Andak mungkin ketawa beramai-ramai, tetapi menangis seorang diri.

12. Sedikit tetapi berterusan.
Biarlah hari ini anda hanya menjawab satu soalan, tetapi anda benar-benar faham dan menguasai soalan berkenaan. Fikirkan kualiti, bukan kuantiti.